Saturday, June 26, 2010

perjuangan yang belum selesai (Tun Dr. Mahathir bin Mohamad)


sesungguhnya
tiada yang lebih menyayat
dari melihat bangsaku dijajah
tidak ada yang lebih menyedihkan
dari membiarkan bangsaku dihina
air mata tiada ertinya
sejarah silam tiada maknanya
sekiranya
bangsa tercinta
tepinggir
dipersendakan
dilupakan
bukan kecil langkah wira bangsa
para pejuang kemerdekaan
bagi menegakkan kemuliaan
dan darjat bangsa
selangkah bererti mara
mengharung sejuta dugaan
biarkan bertatih
asalkan langkah itu yakin dan cermat
bagi memastikan negara merdeka
terpaksa terpilih
air mata sengsara
mengiringi setiap langkah
bapa-bapa
bukan kecil tugas kita
meneruskan perjuangan kemerdekaan
kerana rupanya
selain memerdekakan
mengisi kemerdekaan itu jauh lebih sengsara
bangsaku bukan kecil lagi
dan jiwanya
bukankah sejak zaman berzaman
mereka menjadi pelaut pengembara malah penakluk terkemuka
bukankah mereka sudah mengembangkan sayap
menjadi pedagang dan peniaga
selain menjadi ulama dan ilmuan terbilang
bukankah bangsaku pernah mengharung samudra
menjajah dunia yang tak dikenang
bukankah mereka pernah menjadi wira serantau
yang tidak mengenal erti takut dan kematian
dimanakah silapnya
hingga bangsaku berasa begitu kecil
dan rendah diri
apakah angkara penjajah
lalu bangsaku mulai melupakan kegemilangan silam
dan sejarah gemilang membina empayar
tugas kita belum selesai rupanya
bagi memertabat dan memuliakan bangsa
kerana hanya bangsa yang berjaya akan sentiasa dihormati
rupanya masih jauh dan berliku jalan kita
bukan sekadar memerdeka dan mengisinya
tetapi mengangkat darjat dan kemuliaan
buat selama-lamanya
hari ini
jalan ini
pasti semakin berliku
kerana masa depan belum tentu menjanjikan syurga
bagi mereka yang lemah dan mudah kecewa
perjuangan kita belum selesai
kerana hanya yang cekal dan tabah
dapat membina mercu tanda
bangsanya yang berjaya

No comments:

Post a Comment

bercakap benar saja

Note: Only a member of this blog may post a comment.