Thursday, August 4, 2011

mukasurat

mukasurat satu
aku baru hidup

mukasurat tujuh belas
aku kena marah dengan mak

mukasurat tujuh belas perenggan kedua
aku kena rotan dengan ayah

mukasurat seratus lapan belas
aku baru habis upsr

mukasurat lima ratus empat puluh dua
aku sambung belajar

mukasurat sembilan ratus lapan puluh enam
aku baru dapat kerja

mukasurat berapa engkau wujud dalam hidup aku..?

janji kita

bila saja ada waktu kamu merinduiku
pasti waktu itu rasa kita adalah sama disebalik jarak antara jasad yang terhumban antara satu garis sempadan
pada titis air mata yang menzahirkan siksa hati yang menuntut janji dari waktu
pada segenap dinding jiwa yang didakap erat sepi malam tanpa kamu

janji bintang
malam takkan sendiri

janji bulan
malam takkan sepi

janji hujan
malam takkan sunyi

janji kita
satu hari pasti bersama..pasti.




Thursday, July 14, 2011

pandangan jarak jauh!

sepintas sahaja
hatiku diragut raut wajah manis
yang hilang dibalik wajah-wajah
tinggalkan jantungku yang terhenti
yang hidup saat itu hanya mata

jika aku tahu siapa dia
aku mahu minta sesuatu
pulangkan kembali hatiku
tapi bagaimana
bila wujudku tidak padanya.

Tuesday, June 21, 2011

gadis berkasut tumit tinggi

dimana dia sekarang
gadis berkasut tumit tinggi
wajah mirip amoi berambut pendek
belakang tangan ada bintik-bintik
mata rabun tapi tak hilang cantik
berlagak keras tapi sebenar sensitif

aku lihat senyum tapi aku nampak sakit
senyum pada bibirnya manis
luka pada hatinya pedih
semoga suatu hari senyumnya adalah senyum dari hatinya
jika tiada haluan lagi..kembalilah..

Saturday, May 28, 2011

satu saat sebelum.

engkau lihat perempuan itu
berbaju sendat berkain habis singkat
melambai-lambai mencari jantan puaka
disela-sela mata yang menganjing
namun pasti dia ada alasan tersendiri
tapi apa engkau akan buat
bila engkau ditempat dia
satu saat sebelum dia mahu jadi begini

engkau lihat lelaki itu
berambut panjang bertumit tinggi
bertutur lembut disebalik sedikit garau
mengandai diri secantik dewi
namun pasti dia ada alasan tersendiri
tapi apa engkau akan buat
bila engkau ditempat dia
satu saat sebelum dia mahu jadi begini

kita lihat segala isi dunia
engkau lihat dia
dia lihat aku
aku lihat engkau
masing-masing menilai diri yang lain
aku,engkau & dia..
siapa kita didepan cermin..?
lihat diri sendiri
bersiap mana yang perlu
kerana akan tiba waktu
satu saat sebelum.

Saturday, May 14, 2011

yang terakhir..

seketika aku terdesak
tiba-tiba merindui kamu
bukan mahu apa-apa
cukup sekadar mendengar suara
ya..aku amat merindui kamu

apa khabar kamu..?
masih adakah aku dihatimu
maafkan aku kerana dosa semalam
sesalan ini kerana biarkan kamu melupai aku

mungkin juga ini yang terbaik untukmu
mungkin juga untuk aku
maaf kerana mengganggu lagi
aku janji itu yang terakhir
dan aku takkan kembali
kembali mencari kamu..

Thursday, April 28, 2011

sebelum malam mati

dalam kamar syurga aku menurut
pada indah langit biru yang bertukar kelam
kilauan rasa yang ada hanya satu pilihan
untuk terus tinggal dalam kamar syurga

garisan halus dihujung senja ranum
aku biarkan mata terus berlabuh khusyuk
jari-jemari kian cuba menggapai segala ceruk bulan
selagi ada malam yang mahu terus menyembah
lebih manis bila ada awan cemburu

lagi masih ada waktu sebelum siang
kuselimut segala maya agar matahari takkan kelihatan
semakin waktu yang menjemput subuh hampir
makin luas aku hamparkan syurga
sebelum malam mati

Tuesday, March 29, 2011

sebelum kamu masuk tidur

rindu kerana jarak ini dan aku amat mahu mencium pipi kamu memeluk erat segenap jasad berbicara sedang mata saling mencuri lihat diatas ranjang yang seluas pandang rindu kerana jarak ini semoga getar hatiku menyedarkan hati kamu bahwa aku hanya mahu kamu lalu aku minta pada si penjaga mimpi bawa aku bersama kedalam lenamu rindu kerana jarak ini waktu-waktu itu pasti akan tiba selagi belum sampai waktu itu selagi itu aku akan ucapkan selamat malam sebelum kamu masuk tidur